Tuesday, 5 June 2018

DUSUNIK BORNEO: SUKU TOBILUNG

Tobilung, adalah sub-kumpulan dari etnik Kadazan-Dusun yang terdapat di Sabah, Malaysia. Penempatan suku ini terletak di pertengahan antara Kota Belud dan Kota Marudu, dan di kawasan Kudat.

Kaum Kadazan-Dusun merupakan kaum Bumiputera asli yang terbesar di Sabah. Kaum etnik ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional yang mana akan kita lihat di masa perayaan Pesta Kaamatan yang dirayakan 30-31 Mei setiap tahun. Istilah Kadazan-Dusun ini wujud dari hasil penggabungan etnik Kadazan dan Dusun serta beberapa etnik kecil lain. Penggabungan ini adalah akibat pertelingkahan politik.

Terdapat lebih dari 30 etnik dalam rangkaian suku kaum Kadazan dan Dusun di Sabah dimana suku Tobilung merupakan salah satu etnik keluarga Kadazan-Dusun tersebut. Mungkin sebelum ini suku Tobilung kurang dikenali dikalangan masyarakat umum disebabkan suku ini terselindung di bawah nama etnik Dusun.

Ratusan tahun yang lalu, seperti yang kita sedia ketahui nenek moyang Kadazan-Dusun imendiami sebuah rumah panjang yang letaknua di pertemuan Sungai Liwagu Kogibangan(Cabang Kiri), Liwagu Kawanan (Cabang kanan) dan Sungai Labuk. Terdapat 10 pintu keluarga pada Rumah Panjang tersebut yang letaknya di bawah sepohon kayu ara besar berkulit kemerah-merahan atau lebih dikenali sebagai "NUNUK RAGANG" di Sabah. Masyarakat Nunuk Ragang berkembang dan melalui suatu evolusi sosial dan 10 pintu keluarga rumah panjang menjadi asas bagi pertumbuhan dan perkembangan bagi suku-suku dikalangan kaum Kadazan-Dusun yang kini melebihi 30 etnik. Setelah rumah panjang di Nunuk Ragang tidak lagi mampu menempatkan semua keturunan maka mereka mengadakan "pitimburungakan" dan suatu keputusan dicapai untuk menbahagi-bagikan kawasan tanah di sekitar Nunuk ragang. Suku kaum masing-masing memilih kawasan tanah penempatan dan pembinaan rumah sesuai dengan pekerjaan yang dilakukan. Mereka yang tidak mendapat kawasan di area Nunuk ragang memilih kawasan penempatan di bahagian luar.



Pokok Kayu Ara

Rumah Panjang



Maka dengan itu Pemimpin suku kaum Dusun Tobilung yang bergelar Woyoon Guminggon membawa rombongannya meninggalkan Nunuk Ragang dan akhirnya mereka sampai di suatu tempat yang dipanggil Inanam. Di situ mereka terpaksa berhenti kerana cucu perempuannya tengah sarat mengandung. Walaubagaimanapun anaknya Tombolung dan isteri serta anak-anak mereka iaitu Lajou, Bujang, Gumandang dan Sagonggoh tidak sabar untuk meneruskan perjalanan. Dengan itu mereka meneruskan perjalanan yang mana turut disertai oleh adik Tombolung iaitu Lakou. Tombolung dan rombongannya berjanji untuk meletakkan kukurungan(Tempat Ayam Bertelur) sebagai tanda pada setiap jalan yang mereka lalui jika terdapa persimpangan.

Setelah berhari-hari meredah hutan belukar, akhirnya rombongan Tombolung sampai di suatu tempat yang dipanggil Pandasan. Tombolung memutuskan untuk menetap disitu dan bercucuk tanam sambuk menunggu rombongan ayahnya. Setelah bercucuk tanam selama tiga kali bersamaan 3 tahun ayahnya tidak juga muncul-muncul, isterinya mula jatuh sakit lalu meninggal dunia. Tombolunh akhirnya membuat keputusan untuk berpindah sekali lagi. Mereka telah menuju ke utara dan sampai di puncak bukit, mereka melihat seekor burung helang terbang sambil "menari"lalu hinggap di dahan kayu yang besar, dimana terdapat sarang burung tersebut. Tombolung berasa selesa dengan tempat itu lalu beliau memilih tempat tersebut untuk memulakan hidup baru dan menamalam tempat itu sebagai "Nuluw Rumun" bermaksud Bukit Sarang. Bukit berkenaan berada di dalam Kg. Dudar, Kota Belud. Setelah bertahun lamanya, Tombolung pula jatuh sakit lalu meninggal dunia menyebabkan adiknya Lakou dan anak-anaknya berpisah mengikut haluan masing-masing. Bujang dan Gumandang berpindah ke Kamalaan yang kini dikenali sebagai Kg.Sarang, Kota Belud, sementara Lajou dan Sagonggoh berpindah ke lapai yang kini dikenali sebagai Kg. Menggaris, Kota Marudu, dan Lakou pula telah membuka ladang di Tinongkuban seluas 7 bukit. Beliau seorang yang gagah dan kononnya saiz dadanya selebar 7 jangkal. Lakou telah meninggal dunia di Kg. Timbang, Kota Belud dan makamnya masih boleh dilihat sehingga kini.

Manakala Woyoon Guminggon dan rombongannya dipercayao telah sesaat di sekita inanam disebabkan tanda tersalah letak. Oleh sebab itu, kumpulan tersebut menetap di inanam sehingga kini. Menurut mendiang NC Ampau Bumbungan yang berasal dari Kg. Timbang, Kota Belud menceritakan bahawa beliau pernah menunggang kuda untuk ke Jesselton sekitar tahun 1950an beliau terdengar paluan gong suku kaum Dusun Tobilunh di Inanam. Walaubagaimanapun beliau tidak pula pergi ke tempat berkenaan kerana bimbangkan keselamatan, maka terpisahlah dua kumpulan Dusun Tobilung itu sehingga kini.

Mendiang NC Ampau Bin Bumbungan adalah antara tokoh suku kaum Tobilung yang berasal dari Kg. Dudar, Kota Belud. Mendiang merupakan anak watan suku Tobilung yang pertama dilantik sebagai Native Chief (Ketua Anak Negeri) dalam Mahkamah Anak Negeri Daerah Kota Belud.

*Menurut cerita orang-orang tua, tarian burung helang ketika rombongan Tombolung sampai di Nuluw Rumun menjadi inspirasi kepada rombongan golongan wanita itu sehingga terciptanya "Tarian Mongigol"yang menjadi tarian Suku Kaum Tobilung sehingga kini.


Sumber:
1. Persatuan Tobilung Bersatu Sabah.

sekian,
~Odie de Kodyez~




No comments:

Post a Comment